SEREMBAN, 15 Jun (Rabu) - Seramai 6,495 orang penjawat awam di Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan akan menerima imbuhan saguhati sebanyak RM500 seorang sempena menyambut Hari Raya Aidil Fitri pada tahun ini.

Menteri Besar Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berkata, pemberian bantuan khas yang keseluruhannya berjumlah RM3.9 juta ini akan dinikmati oleh penjawat awam yang bertaraf tetap, kontrak, sementara dan sambilan.

“Mesyuarat exco hari ini telahpun memutuskan untuk menerimapakai arahan dan juga pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri iaitu memberikan saguhati sempena Hari Raya Aidil Fitri kepada semua penjawat awam,” katanya.

Tambahnya, imbuhan saguhati juga turut diberikan kepada semua kakitangan di agensi-agensi dan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri seperti SAINS, MAINS, Yayasan Negeri, Pusat Zakat dan lain-lain lagi.

Menteri Besar berkata, pembayaran imbuhan saguhati berkenaan akan dibuat bersekali dengan gaji bulan enam iaitu pada 23 Jun ini.