Ahad, 19hb Mei 2013
Majlis Perasmian Pesta Persukuan Adat Perpatih 2012
KUALA PILAH, 7 Julai – DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir hari ini telah sudi perkenan berangkat mencemar Duli ke majlis perasmian program Pesta Persukuan Adat Perpatih 2012.Majlis tersebut telah diadakan di Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti, Kuala Pilah dan akan berlangsung selama dua hari. Pelbagai aktiviti telah disusun sepanjang program ini berlangsung seperti Pameran Luak-luak dan Masakan serta Demontrasi Adat, Pameran Jabatan-Jabatan, Demontrasi dan Pertandingan Permainan Tradisional, Pertandingan Masakan Tradisional Negeri Sembilan, Pertandingan Mewarna, Pertandingan Gubahan Tradisional, Persembahan Adat dan lain-lain.Pesta Persukuan Adat Perpatih telah diadakan semenjak tahun 1999 dan setiap tahun juga Kerajaan Negeri melalui Lambaga Muzium Negeri Sembilan telah menggunakan pendekatan berbeza bagi memastikan keseluruhan budaya Adat Perpatih dapat ditonjolkan. Di samping mengenengahkan budaya Adat Perpatih, ia juga menyumbang kepada usaha untuk memelihara budaya dan warisan negeri.Pada tahun 2012 genap 13 tahun penganjuran program ini dan tema pada tahun ini adalah “Adat Perpatih Warisan Sepanjang Zaman”. Pada tahun ini juga terdapat dua pengisian utama iaitu aktiviti promosi di luar Negeri Sembilan dan pengisian utama di Muzium Diraja Istana Seri Menanti.Antara objektif program ini diadakan adalah bagi menyebarluaskan pemahaman Adat Perpatih ke peringkat antarabangsa melalui Persidangan Antarabangsa serta mengenengahkan budaya masyarakat pengamal Adat Perpatih Negeri Sembilan secara lebih mendalam. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai adab di kalangan generasi Y melalui Adat Perpatih itu sendiri.Hadir sama Tunku Besar Tampin serta Dato Undang Yang Empat.Turut hadir YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan, YB. Dato’ Haji Mat Ali bi Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Sembilan, YB. Dato’ Haji Mohammad Razi bin Haji Kail, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu, dan Drs. Shamsudin Ahmad, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan.