
PAROI, 25 Jun –Bersempena dengan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan serta Sambutan Minggu Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) Negeri Sembilan, Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani telah menganjurkan MAHA NS 2012 yang bermula pada hari ini sehingga 1 Julai ini di Tapak Bekas Kem, Paroi, Seremban.
Pihak penaja bagi MAHA NS 2012 pada kali ini adalah FELDA, SIRIM dan TM dan sebanyak 365 buah lot kedai telah dibuka kepada pengusaha dan pembekal untuk menjual serta mempamerkan produk penghasilan masing-masing.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan, pelbagai usaha yang dilakukan bagi meningkatkan kadar penghasilan bahan makanan di negeri ini seperti memulihkan sawah-sawah terbiar bagi penghasilan padi, ladang rakyat untuk penanaman sayur, manakala ternakan lembu,kambing, dan tenusu diuruskan oleh veterinar.
Jelas beliau, MAHA NS ini diadakan bagi menghargai dan memberi pengiktirafan kepada para peladang, penternak dan nelayan kerana berjaya meningkatkan taraf ekonomi dalam negara.
“Ini merupakan satu platform untuk menjadi pertemuan di antara pembeli dan pengeluar. Pengusaha juga berpeluang untuk memperkenalkan produk-produk yang dihasilkan manakala pembeli pula dapat melihat pelbagai keluaran produk jenis tempatan,” demikian kata beliau pada sidang media selepas merasmikan MAHA Negeri Sembilan 2012 sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sembilan (HPPNNS) serta sambutan Minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Sembilan, Dato’ Haji Yunus Bin Rahmat, Speaker Undangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Bin Mansor, Ketua Pengarah Pertanian Malaysia, Tuan Haji Mustafa Kamal Bin Baharuddin dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia, Dato’ Zainal Bin Dahlan.
Dalam majlis tersebut, Menteri Besar telah menyampaikan hadiah pertandingan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sembilan (HPPNNS) 2012 dan Bantuan Azam Niaga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Beliau turut berkesempatan melawat ke gerai-gerai pameran peladang, penternak, pertanian, perusahaan dan veterinar. [Lihat Gambar]