
SEREMBAN, 20 Jun – Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus telah meraikan seramai 339 orang penjawat awam yang bertugas di pelbagai jabatan di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus di dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus 2011 di Hotel Klana Resort, Seremban malam tadi.
Lebih 1000 orang hadir termasuk penerima-penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bersama pasangan masing-masing di dalam majlis tersebut.
Anugerah telah disampaikan oleh Y.A.B Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan. Menurut Menteri Besar di dalam ucapannya, “stigma masyarakat apabila berhadapan dengan penjawat awam dahulu memberikan gambaran dan persepsi tidak baik dan mengandaikan terpaksa menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan.”
“Oleh itu, adalah lebih baik penjawat awam berusaha gigih dan berfikir bagaimana hendak menawarkan perkhidmatan kepada masyarakat agar mereka meninggalkan persepsi lapuk bahawa sukar berurusan dengan kerajaan.” Ujar beliau.
Katanya lagi, “tanggungjawab berfikir ini diserahkan kepada pengarah, ketua jabatan dan agensi agar dengan percambahan idea dari mereka akan memberi manfaat kepada pegawai yang lain sekaligus menaikkan imej perkhidmatan awam.”
Suasana kerja perkhidmatan awam kini sangat berbeza dengan 10 – 20 tahun lalu, apabila terpaksa berhadapan dengan pelbagai karenah cerdik pandai.
“Apa yang menjadi kepentingan perkhidmatan kepada masyarakat yang mahu menggunakan perkhidmatan kita, ialah perkhidmatan yang ditawarkan perlu ‘up to date’ agar terdorong keselesaan di kelegaan di hati mereka.”
Demikian ucapan Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan ketika menyempurnakan tersebut.
Beliau turut melancarkan amalan 8S yang akan diguna pakai oleh penjawat awam apabila berhadapan dengan orang awam kelak.
Di majlis sama, Menteri Besar turut menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2011, anugerah kecemerlangan jabatan 2011 dan anugerah pengurusan kewangan 2011.
Turut hadir ke majlis tersebut, Y.B Dato’ Razak bin Mansor, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri dan isteri serta Y.B Dato’ Hj. Mat Ali bin Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri Negeri Sembilan Darul Khusus dan isteri, Exco-Exco serta Ketua Jabatan.