
SEREMBAN, 20 Jun – Y.A.B Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan hari ini telah menyerahkan bendera Negeri Sembilan kepada ketua kontinjen dan pengurus-pengurus pasukan Sukan Malaysia XV, 2012 di Dewan Theatrette, Wisma Negeri.
Seramai 394 orang yang terdiri daripada 283 atlet dan selebihnya adalah Ketua Kontinjen dan pengurus-pengurus pasukan serta pegawai-pegawai akan menyertai Sukan Malaysia XV, 2012 (SUKMA 2012) di Kuantan, Pahang. Sebanyak 22 acara akan disertai dalam SUKMA 2012 yang akan berlangsung dari 1 Julai hingga 17 Julai 2012 ini.
Y.A.B Menteri Besar Negeri Sembilan di dalam ucapannya telah menyuntik kata-kata semangat terhadap atlet-atlet supaya berusaha keras untuk mencapai matlamat bagi meletakkan Negeri Sembilan di dalam kedudukan 5 mata teratas.
Turut hadir ke majlis tersebut Y.B Dato’ Razak bin Mansor, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Y.B Dato’ Abd. Samad bin Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan, Y.B Dato’ Hj. Mat Ali bin Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri Negeri Sembilan, En.Fouzee bin Abd. Aziz, Pengarah Majlis Sukan Negeri Negeri Sembilan serta Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.