Selasa, 21hb Mei 2013
Kolokium Za'ba 2012 "Za'ba Pemikir Ulung"
SEREMBAN, 5 Jun – Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Dewan Bahasa Dan Pustaka Wilayah Tengah, Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Negeri Sembilan dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan hari ini telah menganjurkan satu kolokium bagi memperingati jasa Pendeta Za’ba atau nama sebenarnya Zainal Abidin bin Ahmad yang merupakan tokoh bahasa dan pemikir melayu yang disegani.Majlis yang berlangsung di Auditorium Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Negeri Sembilan dengan bertemakan “Za’ba Pemikir Ulung” telah mencapai objektifnya dengan menarik minat ramai penyelidik, cendikiawan, pelajar dan masyarakat umumnya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tokoh yang dihormati dan disegani itu.Di samping itu, kolokium ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dan penghayatan tentang peri pentingnya pemerkasaan, pemartabatan bahasa dan pensuratan Melayu sebagai asas pembinaan tamadun bangsa Malaysia.Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus. Turut hadir YB. Dato’ Haji Mat Ali bin Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Sembilan, YB. Dato’ Haji Mohammad Razi bin Haji Kail, Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Sembilan, Prof. Dr. Haji Awang bin Sariyan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Drs. Shamsuddin bin Ahmad, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, serta Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.Selepas itu, majlis diakhiri dengan pembentangan tiga kertas kerja yang menyentuh mengenai perjuangan Pendeta Za’ba oleh tiga ahli panel iaitu Kolonel Profesor Dato’ Dr. Kamarudin Kachar, Pengerusi Eksekutif Dan Ketua Konsultan Global Higher Education Consultants, Prof. Dr. Haji Awang bin Sariyan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka, dan YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah binti Haji Omar.