
SEREMBAN, 22 Mei - Majlis Perjumpaan YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dengan Pegawai dan Kakitangan Pejabat SUKNS telah diadakan di Dewan Theatrette, Wisma Negeri. Majlis kali ini telah dihoskan oleh Unit Pengurusan Teknologi Maklumat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan. Majlis ini dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, Peneraju Wawasan serta lagu pilihan iaitu ‘Bokojo’ oleh Kumpulan Koir Pejabat SUKNS.
YB. Dato’ Haji Mat Ali bin Hassan telah menyampaikan amanatnya kepada semua kakitangan Pejabat SUKNS yang hadir. Di dalam amanatnya, beliau menekankan tentang 6 hala tuju Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan berharap agar semua warga SUKNS dapat mengekalkan 6 hala tuju ini di dalam tugas seharian.
Majlis diteruskan dengan Pengumuman Pengurusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan diikuti dengan Tayangan Video sempena dengan Hari Pekerja 2012 yang berjudul ‘Inovasi dan Kreativiti Pekerja’.
Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderamata kepada warga SUKNS yang menyambut ulang tahun pada bulan Mei 2012, dengan menjemput YBhg. Dato Tahar bin Sudin mewakili warga SUK yang menyambut ulang tahun pada bulan Mei 2012. Selepas itu, majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada kumpulan koir Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan. Cenderamata telah disampaikan oleh YB. Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.
Negeri Sembilan terkenal sebagai negeri mesra pelabur dan Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelabur khususnya di Pihak Berkuasa Tempatan.
Bersempena dengan itu, Negeri Sembilan telah mendapat peningkatan pelaburan setiap tahun di mana pada tahun 2011 sebanyak RM 5.9 billion telah diperoleh melebihi sasaran sebanyak RM 1 billion.
Di atas kecemerlangan perkhidmatan dan hubungan mesra kerajaan negeri, Persatuan Pengilang Malaysia telah memberi penghargaan kepada Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.
Untuk itu, bersempena dengan Perhimpunan Bulanan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan pada kali ini, majlis telah menjemput Pengarah Unit Kerjasama Awam dan Swasta, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Encik Abdul Rahim bin Abdul Rahman untuk menyampaikan sijil penghargaan tersebut kepada YB. Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Pembangunan, YBhg. Dato’ Haji Tahar bin Haji Sudin dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Pengurusan, Tuan Haji Ibrahim bin Hassan serta Ketua-ketua Unit.