SEREMBAN : 5 Feb. – Bekas kakitangan kerajaan diseru terus memainkan peranan menyumbang kepada pembangunan negara dan sama-sama jalan seiring dengan kerajaan bagi memberi perkhidmatan dan penyampaian yang tepat kepada orang ramai.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan berucap demikian di Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan yang diadakan di Dewan Theatrette, Wisma Negeri, dekat sini, pagi tadi.
Seramai 114 orang pesara menerima penghargaan di atas jasa bakti dan kesetiaan yang dicurahkan oleh penjawat-penjawat awam yang telah berkhidmat di Negeri Sembilan.
Ini merupakan tahun ke-2 majlis seumpama ini diadakan bagi menghimpunkan pesara-pesara dari 18 jabatan dan diraikan bersama.
Menteri Besar berkata, imej perkhidmatan awam di Negeri Sembilan telah meningkat dari sehari ke sehari. Ini merupakan hasil dari kerjasama dan dedikasi pesara-pesara yang telah berkhidmat demi negara.
“Pesara-pesara yang mempunyai pengalaman yang meluas dalam menguruskan organisasi mahupun perkhidmatan awam, harus cuba mengisi kekosongan dalam sektor yang berkaitan,”ujar beliau.
Di akhir ucapan, beliau mengucapkan selamat menjalani kehidupan alam persaraan dan berharap hubungan silaturahim yang telah sedia terjalin akan tetap kekal utuh walaupun mereka tidak lagi di dalam perkhidmatan.
Sementara itu, salah seorang pesara paling lama berkhidmat, En. Mohd Zain Mohd Sidek, 58, menjelaskan bahawa beliau sudah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 42 tahun.
Beliau yang bekerja sebagai penghantar notis dari pejabat daerah dan tanah Jelebu memulakan tugas sejak usia 16 tahun bagi menampung keperluan keluarga.
Menteri Besar turut menyampaikan cenderamata dan sijil kepada para pesara.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mat Ali Bin Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Haji Yunus Bin Rahmat, dan Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Mohammed Najeeb Bin Abdullah. [Lihat Gambar]
Sumber: www.n9kini.com