
KUALA PILAH, 14 Jan – D.Y.M.M Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir hari ini menitahkan rakyat Negeri Sembilan terus meningkatkan momentum kejayaan untuk mencapai negeri maju menjelang 2020.
Baginda turut bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan ke-64 di Balai Rong Seri, Istana Besar Seri Menanti, supaya seluruh rakyat meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran bersaing dalam era globalisasi.
Tuanku Muhriz bertitah rakyat juga hendaklah terus bersama-sama mempertahankan Negeri Sembilan bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan, yang dikecapi sekian lama hasil daripada sikap toleransi antara kaum di samping nikmat daripada pembangunan pesat sosio-ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Dalam Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang hari ini, seramai 157 orang mendapat kurniaan pingat dan darjah daripada D.Y.M.M. Tuanku Muhriz.
Terdahulu, istiadat dimulakan dengan perbarisan dan kawalan kehormat dari 71 Rejimen Semboyan Diraja, Kem Sungai Besi yang terdiri daripada tiga pegawai serta 103 anggota lain-lain pangkat yang diketuai Mejar Badrul Hisham Naser Nordin. Disusuli dengan itu, satu pertunjukan tatu bermotosikal oleh 50 anggota termasuk enam wanita ‘Army Red Warrior’ dari Tentera Darat Malaysia di bawah pimpinan Mejar Ahmad Zaidi Shuib turut diadakan.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapan taniah dan sembah taat setia berkata prestasi ekonomi Negeri Sembilan berada di paras memuaskan dan diunjurkan terus berkembang.
Katanya, dalam kerancakan kerajaan meneruskan momentum kejayaan, program mensejahterakan rakyat tetap menjadi keutamaan.
“InsyaAllah, dengan kepercayaan dan tanggungjawab yang diamanatkan kepada patik serta barisan kepimpinan kerajaan negeri serta dengan pegangan yang kuat terhadap prinsip ketelusan, dan keadilan yang berlandaskan undang-undang, patik sekalian akan terus membangunkan Negeri Sembilan berkembang ke tahap yang lebih pesat dan maju lagi,” katanya.
Y.A.B Menteri Besar berkata, selaku rakyat yang setia dan taat kepada raja, adalah menjadi tanggungjawab kepada semua pihak, tanpa mengira atas kapasiti apa sekalipun, supaya menunjukkan keikhlasan untuk sama-sama mempertahankan kedaulatan negeri dan negara bagi terus memupuk keharmonian yang sangat berharga. [Lihat Gambar]
|