
SEREMBAN, 12 Jan – Sempena dengan Hari Keputeraan D.Y.M.M. Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus yang Ke-64 ini, satu Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat telah diadakan di Masjid Negeri, Seremban malam tadi.
DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan,Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mencemar duli di Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat tersebut. Turut mencemar duli ialah Tengku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, permaisuri baginda dan dua putera baginda, Tunku Ali Redhauddin Muhriz dan Tunku Zain Al’Abidin Muhriz.
Majlis di mulakan dengan solat maghrib berjemaah kemudiannya disusuli dengan Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat yang di pimpin oleh Dato’ Hj Mohd Yusof Hj Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, kemudian diikuti dengan solat isyak berjemaah.
Turut hadir ke majlis tersebut, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan dan isteri Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin, Y.B. Dato’ Haji Mat Ali bin Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan isteri, serta Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan. Turut hadir Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak, Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman; dan Undang Luak Johol, Datuk Mohd. Jan Abdul Gani. [Lihat Gambar] |