NS Fest 2019 di Dataran Nilai
Kuala Pilah 1 Disember 2019 (Korporat SUKNS) - Istiadat ini bertujuan mengulangi ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi Dato’-Dato’ Penghulu Luak Tanah Mengandung, kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Natijah satu perjanjian yang dimeterai pada tahun 1885 Masihi di antara Gabenor Negeri-Negeri Selat (bagi pihak kerajaan Inggeris) dengan Raja dan YTM Dato’-Dato’ Undang dan pembesar kawasan, Negeri Sembilan telah diiktiraf semula sebagai sebuah Persekutuan. Negeri Sembilan terbahagi kepada luak berundang dan luak tanah mengandung, serta beberapa luak kecil.

Luak berundang terdiri daripada Luak Sungei Ujong, Luak Johol, Luak Rembau, Luak Jelebu dan kawasan Wilayah YTM Tunku Besar Tampin. Manakala luak tanah mengandung merangkumi Luak Ulu Muar, Luak Jempol, Luak Terachi, Luak Gunung Pasir dan Luak Inas. Luak-luak kecil pula terdiri daripada Luak Gemencheh, Pesaka Air Kuning dan Linggi.

Bermula pada tarikh 29 April 1898 Masihi, dengan persepakatan luak-luak berundang, kesemua Dato’ Penghulu Luak yang bernaung di bawah payung Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, telah menzahirkan taat setianya kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Di waktu pemerintahan DYMM Tuanku Muhammad ibni Almarhum Tuanku Antah (1888 –1933), telah diputuskan supaya Istiadat Ulangan Penghulu Luak Mengadap ini diadakan tiga tahun sekali.

Istiadat ditentukan Di bawah titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, yang disampaikan oleh salah seorang Putera Yang Empat kepada Anak-Anak Raja Bergelar, Dato’-Dato’ Penghulu Luak berserta Tiang Balai dan Dato’-Dato’ Lembaga Luak di dalam satu pertemuan khas.

1. Istiadat Menurunkan Dan Memasang Alat Kebesaran

Istiadat bermula dengan perarakan masuk Dato’-Dato’ Penghulu Luak dan Dato’-Dato’ Lembaga, ke Istana Besar Seri Menanti, didahului oleh Dato’ - Dato’ terkecil, mengikut susunan adat.

Alat Kebesaran Diraja diturunkan dan dipasang di pekarangan Istana Besar, dengan disaksikan oleh YAM Tunku Besar Seri Menanti, (sebagai mewakili Ke bawah Duli Tuanku) disertai oleh kaum kerabat, Anak-Anak Raja Bergelar dan Penghulu serta Pembesar Luak.

Sebaik sahaja kesemua payung kebesaran dikembangkan, tiga das tembakan meriam dilepaskan, menandakan bermulanya istiadat dengan rasminya.

2. Istiadat Bersiram.

Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan berangkat menaiki Takhta Rencana menuju ke Panca Persada, dihela oleh Pegawai 99 Istana. Permulaan perarakan disahut oleh lapan das tembakan meriam. Istiadat bersiram bermula di Panca Persada.

Orang Empat Istana yang diketuai oleh Dato’ Seri Amar Diraja, secara bergilir membawa cepu bedak limau mengelilingi Duli Yang Maha Mulia Tuanku berdua sebanyak tujuh pusingan. Mereka berhenti pada setiap kali pusingan untuk Tuanku berdua mencelup tangan ke dalam cepu, simbolik persiraman persediaan untuk menyambut tetamu yang akan berkunjung.

Upacara diakhiri dengan persembahan yang sesuai dengan adat istiadat Diraja.

Keberangkatan pulang Duli Yang Maha Mulia Tuanku berdua ke Istana Besar, juga secara dihela di atas Takhta Rencana, diiringi dengan lapan das tembakan meriam.

3. Istiadat Mengadap.

Istiadat mengadap merupakan upacara kemuncak istiadat, diadakan secara tertutup di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti. Dato’-Dato’ Penghulu Luak mengambil tempat masing-masing di atas Seri Raja Di Muda yang disediakan berhadapan tepat dengan singgahsana.

Keberangkatan masuk Ke bawah Duli Tuanku berdua, diiringi oleh YAM Putera Yang Empat dengan iringan irama Raja Berangkat yang dimainkan oleh kumpulan cak lempong.

Ke bawah Duli Tuanku berdua bersemayam di atas singgahsana diapit di sebelah kanan oleh YAM Tunku Besar Seri Menanti dan YAM Tunku Muda Serting, sementara YAM Tunku Laksamana dan YAM Tunku Panglima Besar duduk di sebelah kiri. Selesai bacaan doa oleh YB Sohibus Samahah, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Bentara Dalam mengisytiharkan Istiadat Penghulu Luak Mengadap dizahirkan diikuti dengan tembakan meriam sebanyak 11 das.

Istiadat menjunjung duli dan lafaz taat setia, dimulakan dengan rombongan luak mengikut giliran yang telah ditetapkan adat, iaitu dimulakan dengan luak terkanan. Rombongan luak ini diketuai oleh Penghulu Luak masing-masing dengan aturan seperti berikut :.

i. Luak Ulu Muar, diketuai oleh Dato’ Bendahara Setia Maharaja, Setia Maharaja Lela Pahlawan.

ii. Luak Jempol, diketuai oleh Dato’ Lela Putra Setiawan.

iii.Luak Terachi, diketuai oleh Dato’ Anjah Pahlawan.

iv. Luak Gunung Pasir, diketuai oleh Dato’ Orang Kaya Mempasir Setiawan.

v. Luak Inas, diketuai oleh Dato’ Pahlawan Lela Perkasa Walad Kuala Dioh.

Majlis diakhiri dengan Titah Ucapan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli bagi Tahun 2019 berakhir dengan rasmi di sebelah petang hari Ahad, 17 November 2019, apabila Alat Kebesaran Diraja yang dipasang selama tiga hari di pekarangan Istana Besar Seri Menanti dibawa masuk semula, juga dengan penuh adat istiadat, dengan diiringi tiga das tembakan meriam.


Pautan Agensi

sort

  • KSN
  • MDeC
  • MSC Malaysia
  • JPA
  • LHDN
  • myGOV
  • SPA
  • MAMPU
  • SPR
  • PCB
  • myGOV Mobile

Pautan Negeri

2

  • SUK Johor
  • SUK Kedah
  • SUK Kelantan
  • SUK Melaka
  • SUK Pahang
  • SUK Penang
  • SUK Perak
  • SUK Perlis
  • SUK Sabah
  • SUK Sarawak
  • SUK Selangor
  • SUK Terengganu

Capaian Terus

sort

  • Announcement
  • GuestBook
  • Publishing
  • SmartApp
  • Charter
  • Open Data
  • Gallery
  • Archive