| SEPANJANG MAJLIS DAN BERITA DAERAH KECIL GEMAS |
Perbezaan politik diketepikan
(Petikan diambil dari sinar harian) FELDA BUKIT ROKAN UTARA – Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mengambil pendekatan proaktif dari semasa ke semasa dalam menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan tanpa mengira perbezaan fahaman politik. Penyelaras Pembangunan Desa dan Perhubungan Kemas Dewan Undangan Negeri Gemencheh, Anuar Ali berkata, langkah itu selaras dengan hasrat dan objektif Kemas membantu masyarakat luar bandar dalam pelbagai aspek kehidupan. Menurutnya, program penyaluran bantuan Kemas kepada golongan memerlukan juga adalah sebahagian daripada program pembangunan yang direncanakan Kemas dalam membantu meringankan beban golongan berkenaan. “Malah, dalam setiap program turun padang bersama pemimpin yang dijalankan Kemas, kita mendapat reaksi cukup positif daripada penerima terutamanya luahan rasa terima kasih dan kegembiraan mereka apabila menerima kunjungan wakil rakyat ke kediaman mereka. “Selain itu, kita menyalurkan bantuan kepada penerima tanpa mengira sebarang perbezaan dan turut menyelitkan penglibatan organisasi di peringkat akar umbi dalam program kita bagi mengeratkan hubungan serta merangsang semangat kerjasama antara satu sama lain,” katanya sempena Program Penyampaian Bantuan Kemas ke Felda Bukit Rokan Utara, dekat sini, baru-baru ini. Hadir sama, Adun Gemencheh, Datuk Mohd Kamil Abdul Aziz; Penyelia Kanan Kemas Parlimen Tampin, Zuredah Mohamad serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Felda Bukit Rokan Utara, Abdul Talib Ahmad. Sementara itu, Anuar berkata, sempena program itu, seramai 25 individu di Felda berkenaan menerima sumbangan melibatkan golongan orang kurang upaya; warga emas dan pesakit terlantar. “Bantuan ini disampaikan secara terus kepada penerima di mana ianya berkonsep serampang dua mata di mana penerima bukan menerima bantuan sahaja, bahkan berpeluang mengetengahkan masalah mereka kepada wakil rakyat,” katanya.
Mesyuarat Agong Tahunan Kelab Pentanda Kali Yang Ke 18
GEMAS (29/3/2012) Persatuan Kebajikan Dan Sukan Kakitangan Pejabat Daerah Kecil Dan Tanah Gemas (PETANDA GEMAS) telah mengadakan mesyuarat agong kelab kali ke-18 di Dewan Gemas. Mesyuarat Agong Kelab Petanda Gemas ini telah dirasmikan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah, En.Anirwan Fauzee selaku Penasihat Persatuan.Aktiviti yang telah dilakukan semasa mesyuarat agong kelab berlangsung ialah menerima dan mengesahkan minit mesyuarat kali ke17 dan pemilihan jawatankuasa baru bagi tahun 2011/2013.
Warga emas 2020 dijangka cecah 3.2 juta
(PETIKAN DARI SINAR HARIAN) GEMAS (30/3/2012) – Jumlah warga emas iaitu individu berusia 60 tahun ke atas dijangka mencecah seramai 3.2 juta atau 9.5 peratus daripada penduduk negara ini menjelang 2020, berbanding 2.1 juta (7.3 peratus) pada 2010. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Datuk Zainab Nasir berkata, jumlah berkenaan dijangka meningkat 15 peratus daripada penduduk di negara ini menjelang 2030. Bagaimanapun menurutnya, keadaan itu menambah kegusaran pihak kerajaan dalam usaha menangani masalah kecenderungan masyarakat masa kini yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah kebajikan. “Kerajaan Negeri menyahut saranan perlaksanaan Kempen Kesedaran Sayangi Warga Emas yang baru sahaja dilancarkan bagi memastikan masyarakat menyedari tanggungjawab mereka menjaga orang tua masing-masing. “Kita harap anak-anak tidak memandang remeh mengenai penjagaan ibu bapa masing-masing dan tidak meletakkan tanggungjawab berkenaan kepada kerajaan,” katanya sempena Majlis Meraikan Warga Emas Dewan Undangan Negeri (Dun) Gemas di Dewan Besar Gemas, di sini, kelmarin. Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Gemas, Anirwan Fauzee Mohd Aini dan Pengerusi Kelab Warga Emas Klinik Kesihatan (KK) Gemas, Zainudin Harun. Sempena program berkenaan, seramai kira-kira 250 warga emas dari sekitar Dun Gemas diraikan dan diberikan sumbangan. Sementara itu, Zainab berkata, sememangnya usaha membantu meringankan beban warga emas yang kurang berkemampuan dapat dilihat melalui penyaluran Bantuan Orang Tua (BOT) oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu sebanyak RM300 pada setiap bulan. “Di Parlimen Tampin ini, Dun Gemas muncul sebagai Dun yang mencatatkan penerima BOT paling ramai iaitu hampir 300 orang dan bantuan berkenaan merupakan sebahagian daripada bantuan kerajaan dalam menghargai golongan berkenaan,” katanya.
PORTAL RASMI PDKG TERIMA PENARAFAN 5 BINTANG
Pejabat Daerah & Tanah Gemas (PDKG) telah terpilih dari 215 portal dan laman web agensi kerajaan yang menerima penarafan lima bintang daripada Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDec). PDKG diantara Pejabat Tanah Dan Daerah di Negeri Sembilan yang mendapat penarafan lima bintang . Sebanyak 1155 portal dan laman web kerajaan telah di nilai oleh MDec dan sejumlah 215 portal dan laman web terpilih menerima penarafan lima bintang. Antara agensi kerajaan negeri sembilan yang menerima penarafan lima bintang adalah Kerajaan Negeri Sembilan Pejabat Daerah Jempol serta 8 PBT (Pihak Berkuasa Tempatan). * Untuk maklumat lanjut tentang pemarkahan oleh MDEC sila klik DISINI





















































